Articles

Nobat Diraja

 

Nobat adalah salah satu cabang seni muzik tradisi yang terdapat di Malaysia. Terdapat empat buah negeri di Malaysia yang mempunyai kumpulan alat muzik Nobat iaitu Kedah, Perak, Terengganu dan Selangor. Nobat negeri Kedah dikatakan sebagai yang tertua dan mula diperkenalkan di Kedah pada zaman pemerintahan Sultan Ataullah Muhammad Shah I iaitu pada tahun 1118 Masihi. Nobat merupakan orkestra Diraja bagi Majlis adat istiadat istana seperti istiadat pertabalan, perkahwinan,menjunjung duli, berkhatan, kemangkatan dan sebagainya.

Alat-alat muzik yang digunakan dalam Nobat Diraja Kedah terdiri daripada enam jenis iaitu Serunai, Nafiri, Gendang Ibu, Gendang Anak dan Gong. Satu lagi perkataan yang digunakan ialah Mahaguru atau dikenali juga sebagai Semambu iaitu sebatang rotan semambu yang dijadikan lambang mohor atau cokmar yang menjadi simbol kekuasaan Raja. Rotan sepanjang 1.77 meter ini dibalut dengan kain kuning dan akan dipegang oleh Penghulu Nobat menghadap kumpulannya ketika permainan Nobat dipersembahkan. Alat muzik ini dimainkan oleh beberapa orang pemuzik yang dipilih khas dalam satu keturunan keluarga sahaja yang dikenali sebagai ‘orang kalur’ dan mereka memainkan lagu-lagu yang telah diwarisi sejak zaman dahulu lagi. Antara lagu yang sering dimainkan ialah Raja Burung, Belayar, Mala wala dan sebagainya.


LAGU-LAGU NOBAT

Dalam Istiadat Pertabalan, tiga lagu Nobat dimainkan iaitu Raja Berangkat semasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berangkat masuk ke Balairung Seri, Menjunjung Duli semasa Alat-alat Pertabalan dibawa masuk ke Balairung Seri, RajaBertabal selepas Seri Paduka Baginda mengangkat Sumpah Diraja dan Raja Berangkat sekali lagi apabila Seri Paduka Baginda berdua berangkat pulang dari Balairung Seri. Nobat Subuh, Nobat Khamis dan Nobat Raja hanya boleh dimainkan di sebelah pagi dan petang dan Puteri Mandi Mayang dimainkan semasa menyambut ketibaan bulan Ramadan tiga petang berturut-turut, iaitu petang 28, 29 dan 30 dalam bulan Syaaban tiap-tiap tahun.