Articles

Istana Negara, Jalan Tuanku Abdul Halim

induta 02  

ISTANA NEGARA,JALAN TUANKU ABDUL HALIM KUALA LUMPUR

Istana Negara adalah tempat bersemayam rasmi bagi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Terletak di Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur dan merupakan mercu tanda bagi sistem pemerintahan Raja Berpelembagaan di Malaysia. Rekabina istana ini melibatkan aspek keselamatan dan ciri-ciri estetika khusus dengan penekanan ciri-ciri binaan Islam dan tradisional Melayu pada bangunan dan sekitarnya. Istana Negara ini terletak di kawasan seluas 241.3 ekar (97.65 hektar).

Pentadbiran Istana Negara di Jalan Tuanku Abdul Halim ini telah mula beroperasi sepenuhnya semasa tempoh Pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIII, Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah iaitu pada 11 November 2011. Satu Istiadat Menaikkan Bendera Peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah diadakan pada 15 November 2011 sebagai simbolik bahawasanya Istana Negara, Jalan Tuanku Abdul Halim ini telah secara rasminya menjadi Istana Negara di Malaysia.

 

KEUNIKAN BINAAN

Antara keunikan yang dapat dilihat pada Istana Negara ini adalah bilangan kubahnya iaitu sebanyak 22 buah kesemuanya. Pada 2 kubah terbesar, terdapat reka bentuk seolah sirih bertindih di mana pada waktu malam, cahaya daripada lampu hiasan yang menerangi kubah berkenaan akan memberi kesan ilusi yang sangat cantik. Cahayanya boleh bertukar warna mengikut acara rasmi yang berlangsung dan dapat dilihat dengan jelas daripada luar kawasan Istana Negara ini. Di dalam lobi Anjung utama, tetamu akan berada di bawah kubah utama setinggi 40 meter atau 10 tingkat bangunan. Ia juga menempatkan chandelier terbesar buatan tempatan yang dihasilkan di Kuala Selangor. Di sekeliling kubah yang disokong oleh tiang-tiang besar berbentuk bulat, terdapat lapan lukisan besar yang menonjolkan sejarah negara sejak zaman Kesultanan Melaka sehingga era sekarang yang menyaksikan Malaysia membangun dengan pesat.

Berbeza dengan Istana Negara di Jalan Istana yang agak sempit dengan keluasan 11.34 hektar, Istana Negara Jalan Tuanku Abdul Halim ini lebih luas untuk membolehkan setiap Bilik dan Dewan dibina khas untuk fungsi khusus sahaja. Semua bilik dan dewan berkenaan memaparkan ukiran, lukisan dan hiasan dalaman tradisional Melayu. Ciri-ciri Islam yang dipaparkan dalam corak geometri tiga dimensi, ukiran kalimah Allah, lampu hiasan seperti yang banyak diguna ketika zaman kegemilangan kerajaan Islam juga turut diserlahkan terutama pada binaan surau. Tulisan ayat-ayat suci Al-Quran yang terpapar di sekeliling ruang dalaman dan bahagian Mihrab surau berkenaan dihasilkan oleh anak tempatan. Singgahsana yang menjadi tempat Bersemayam Seri Paduka Baginda di Balairong Seri Istana Negara Jalan Tuanku Abdul Halim ini menonjolkan ukiran tradisional Melayu serta tulisan khat 99 Nama Allah dan ayat-ayat suci Al-Quran.Ukiran berkenaan dihasilkan oleh beberapa pengukir terkenal dari Terengganu dan Kelantan yang diakui sejak zaman-berzaman mempunyai hasil kerja bermutu tinggi.

Selain keunikan segi ukiran, lukisan dan hiasan dalaman yang dihasilkan dengan tangan sepenuhnya, keistimewaan lain yang terdapat pada Istana Negara ini adalah suasana alam semula jadi di sekelilingnya. Ini berikutan hanya sekitar 65 hektar sahaja keluasan yang digunakan bagi pembinaan bangunan manakala kawasan selebihnya dikekalkan sebagai taman dan zon penampan dari sekitaran luar. Persekitaran Istana Negara juga diperindahkan dengan sulaman lanskap lembut.

 

KOMPONEN BANGUNAN

Istana Negara dibina merangkumi tiga komponen utama iaitu Komponen Rasmi, Komponen Diraja serta Komponen Pentadbiran.

 

Komponen Formal

Komponen Rasmi menempatkan Balairong Seri, Dewan untuk majlis menghadap, Dewan menunggu sebelum majlis menghadap, Dewan Bankuet bagi majlis santapan , Dewan Singgahsana Kecil dan Dewan Mesyuarat Majlis Raja-Raja iaitu tempat bagi Majlis Raja-Raja bersidang beserta Dewan menunggu bagi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta Tuan Yang Terutama Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri , Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Menteri-Menteri Besar dan Yang Amat Berhormat Ketua-Ketua Menteri. Di komponen ini juga disediakan ruang legar yang selesa bagi kegunaan tetamu jemputan diantara Dewan Bankuet dan Balairong Seri serta Pejabat Bahagian Keselamatan Istana Negara khusus bagi menjaga keselamatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta kawasan persekitaran Istana Negara.

 

Komponen Diraja

Komponen Diraja pula yang direka khusus untuk persemayaman Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong beserta kerabat Diraja Baginda meliputi Kamar Peraduan, Kamar Persiraman, Kamar Pejabat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Kamar Pejabat Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Kamar Santapan, Tempat Istirehat serta Bilik Tetamu Diraja.

 

Komponen Pentadbiran

Komponen Pentadbiran menempatkan Pejabat Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Pejabat Datuk Paduka Maharaja Lela, Bahagian Urusan Diraja, Bahagian Istiadat, Bahagian Khidmat Pengurusan, Bahagian Agama serta Bahagian Juruiring yang menjadi nadi pentadbiran dan pengurusan Istana Negara.

Sebuah surau dengan muatan 1000 jemaah turut disediakan bagi kemudahan dan keselesaan tetamu dan kakitangan Istana Negara.

Kemudahan lain yang turut dibina di Istana Negara termasuklah bangunan sokongan, pejabat keselamatan, jalan masuk bertingkat dari Jalan Tuanku Abdul Halim, dataran pelawat dan tempat meletak kenderaan bawah tanah. Turut disediakan ialah kemudahan dewan serbaguna, lif, eskalator, bilik rawatan, tapak pendaratan helikopter, tempat tembakan meriam, kandang kuda, gelanggang untuk bersukan serta kolam renang diraja.

 

LALUAN ISTANA NEGARA

Istana Negara, Jalan Tuanku Abdul Halim mempunyai 3 laluan masuk utama iatu Pintu Gerbang Masuk Utama melalui jalan masuk bertingkat dari Jalan Tuanku Abdul Halim untuk kegunaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta Duli-Duli Yang Maha Mulia Permaisuri-Permaisuri Baginda, Tuan Yang Terutama Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Ketua-Ketua Negara dan Ketua-Ketua Kerajaan. Pintu Gerbang Masuk Utama ini turut menempatkan Pengawal Istana dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja serta pengawal berkuda.

Pintu 2 yang terletak di Jalan Changkat Semantan adalah pintu masuk bagi kegunaan Tetamu Diraja serta tetamu-tetamu jemputan bagi menghadiri sesuatu majlis di Istana Negara.Manakala Pintu 3 yang terletak di Jalan Sri Hartamas, Mont Kiara adalah pintu masuk bagi kegunaan umum yang ingin berurusan berkaitan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta Pentadbiran Istana Negara serta tetamu-tetamu jemputan bagi menghadiri sesuatu majlis di Istana Negara.


MAJLIS PENYERAHAN KOMPLEKS ISTANA NEGARA JALAN DUTA

Majlis Penyerahan Istana Negara Baru Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur telah diadakan di Dewan Serbaguna DiRaja di antara Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Pihak Pengurusan Istana Negara pada 18 Oktober 2011.

Aturcara penyerahan Kompleks bangunan ini telah disempurnakan dengan sesi menandatangani penyerahan dan penerimaan Sijil Penyerahan Bangunan di antara Y.Bhg. Datuk Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Y.Bhg. Datuk Othman Bin Haji Mahmood dari Jabatan Perdana Menteri dengan Y.M Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Y.M Datuk Tengku Farok Hussin bin Tengku Abdul Jalil yang mewakili pihak Pengurusan Istana Negara. Majlis yang diadakan secara sederhana ini turut dihadiri dan disaksikan oleh Pegawai-Pegawai Kanan daripada Jabatan Perdana Menteri dan Istana Negara.

 
MAJLIS PERPINDAHAN BENDERA RASMI SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG KE JALAN DUTA

Pada 15 November 2011, Yang di-Pertuan Agong secara rasminya berpindah dari Istana Negara, Jalan Istana ke Kompleks Istana Negara Jalan Tuanku Abdul Halim. Perpindahan tersebut dilakukan dengan simbolik perpindahan bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong. Upacara menurunkan bendera peribadi baginda di Istana Negara, Jalan Istana dilakukan pada jam 9 pagi manakala upacara menaikkan bendera peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di kompleks Istana Negara baru disempurnakan tepat jam 10.25 pagi.

Acara berlangsung di dataran Istana Negara, menandakan pemindahan secara rasminya. Upacara bermula dengan perbarisan 52 anggota Rejimen Askar Melayu Diraja serta 12 Skuadron Istiadat Berkuda diiringi tiupan fajar. Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Tengku Farok Hussein Tengku Abdul Jalil kemudiannya menyerahkan bendera kepada Pemangku Pegawai Memerintah Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Mejar Mohd Kadri Abu Bakar. Bendera Yang di-Pertuan Agong dinaikkan dengan diapit dua bendera Jalur Gemilang serta 14 bendera negeri-negeri. Kaedah menaikkan bendera pada tiang berketinggian 30 meter dilakukan secara automatik, berbeza di Istana Negara lama, yang dinaikkan secara manual. Upacara diakhiri dengan bacaan doa. 

 

 

 

rightblock 06

warif

rightblock-Recovered 07rightblock-Recovered 08